AZWAN Ali. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
AZWAN Ali. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Image

Gombak: Pengacara sensasi, Azwan Ali, berhasrat untuk terus menentang abangnya, Datuk Seri Azmin Ali di mana sahaja dia bertanding.

Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA akan bertanding atas tiket calon Bebas kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau calon pertama tiba di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini, hari ini.

"Sudah pasti nak lawan abang (Azmin Ali), saya kini sedang tunggu Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) kerana kami akan berarak bersama-sama.

"Apa pun selepas ini kena tunggu, saya tidak boleh bagitau semua, sebab dah janji dengan Datuk Seri," katanya.

Pada PRU-14 lalu, Azwan hilang wang pertaruhan apabila sekadar beroleh 90 undi manakala Azmin meraih majoriti 25,512 undi bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Parlimen Gombak disandang Azmin, iaitu bekas Timbalan Presiden PKR yang meninggalkan PKR pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh.

Difahamkan kerusi parlimen itu kini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru dan antara kerusi panas di Selangor.

PRU-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 8:10 AM