Mohd Nasaruddin Parzi

Image

Gombak: Penyandang Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahan Parlimen Gombak, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, akan berdepan saingan kuat daripada calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari selain Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN).

Turut menyertai saingan di kerusi itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air,

Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Keputusan pencalonan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi kerusi Parlimen Gombak, Wan Norazlina Abdul Aziz di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini, hari ini.

Zulkifli (dua kiri) bersama Mohamed Azmin (tiga kiri), Amiruddin, Jamaludin, Megat Zulkarnain. FOTO Mohd Nasaruddin Parzi
Zulkifli (dua kiri) bersama Mohamed Azmin (tiga kiri), Amiruddin, Jamaludin, Megat Zulkarnain. FOTO Mohd Nasaruddin Parzi

Kerusi Parlimen Gombak menjadi antara tumpuan kerusi panas dalam saingan PRU kali ini, dengan PH menjadikan kerusi itu sebagai medan menebus maruahnya.

Ini ekoran keputusan Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR pada Februari 2020 bertindak keluar parti bersama kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR lain.

Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, salah satu DUN dibawah Parlimen Gombak menjadi taruhan besar PH dan dianggap paling menyengat, untuk merampas kembali kerusi itu kali ini.

Pada PRU ke-14 lalu, Azmin menang dikerusi itu dengan majoriti 48,721 undi.

Sementara itu, kehadiran calon PH, PN dan BN turut diiringi ratusan penyokong masing-masing, sekaligus menyaksikan pusat penamaan calon itu gamat dengan sorakan penyokong parti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 11:04 AM