GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


WARIS korban ketiga dan ketujuh koronavirus baharu (Covid-19) layak menerima Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya sedang mengesan waris dua mangsa korban Covid-19 yang layak menerima Skim Keilatan Perkeso di mana waris mereka layak menerima Faedah Pengurusan Mayat dan bayaran bulanan Pencen Penakat.

“Saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa wabak Covid-19. Setakat ini, kami dapati korban ketiga Covid-19 yang juga bekas pekerja Sabah Port Sdn Bhd memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan Perkeso.

“Kementerian bagaimanapun dimaklumkan semua ahli keluarga mangsa sedang dalam kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, korban ketujuh berusia 57 tahun yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, kelmarin juga didapati memenuhi syarat kelayakan untuk menerima faedah Perkeso di bawah skim sama.

“Perkeso berjaya menghubungi waris mangsa tetapi ahli keluarga masih belum bersedia untuk berkongsi maklumat lanjut.

“Maklumat awal yang diperoleh adalah mangsa meninggalkan seorang balu dan semua anak-anak berusia lebih 21 tahun,” katanya.

Katanya, demi menghormati waris mangsa, penyampaian faedah hanya akan dilaksanakan selepas tamat tempoh kuarantin serta selepas ahli keluarga mangsa bersedia.

Susulan itu, beliau turut mengarahkan Perkeso supaya bersedia menyemak rekod mangsa Covid-19 bagi kelayakan Faedah Perkeso dari semasa ke semasa dan menyampaikan faedah seberapa segera kepada mereka yang layak supaya kebajikan keluarga serta tanggungan mereka terbela.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:06 PM