GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosyahaida Abdullah


SERAMAI 10 daripada 77 mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di negara ini dikenal pasti layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas didapati memenuhi syarat di bawah Skim Keilatan.

Dalam satu kenyataan, Perkeso menjelaskan, semakan sehingga kelmarin (13 April 2020) mendapati 10 mangsa itu membabitkan kes kematian ketiga, tujuh, 13, 32, 33, 37, 46, 52, 56 dan 66 yang layak menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Pencen Penakat untuk waris mangsa.

“Ini termasuk tiga mangsa di Johor dan tiga di Sarawak, dan masing-masing satu mangsa di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah di mana kesemuanya berusia antara 37 hingga 59 tahun.

“Sembilan daripada mangsa adalah lelaki manakala seorang wanita. Semakan yang dibuat juga mendapati tiga daripada mereka masih bujang,” demikian menurut kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurut Perkeso, bantuan FPM berjumlah RM2,000 sudah diserahkan sudah diserahkan melalui Skuad Perkeso Prihatin kepada ahli keluarga kepada tujuh mangsa.

Bagi ahli keluarga tiga lagi, mereka belum menerima bantuan faedah terbabit susulan masih menjalani proses kuarantin.

“Pembayaran faedah ini akan dibuat kepada waris sejurus dokumen lengkap diterima sebaik saja tempoh kuarantin mereka tamat,” katanya.

Perkeso menjelaskan, selain FPM, Perkeso juga akan membuat bayaran Pencen Penakat kepada waris mangsa Covid-19 yang diperakui sebagai orang tanggungan.

Katanya, memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, waris tidak perlu hadir ke pejabat Perkeso kerana semua urusan pembayaran akan dilaksanakan Skuad Perkeso Prihatin dan bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

“Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans Perkeso meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

“Antara syarat di bawah Pencen Penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya.

Sebagai langkah membantu mengurangkan bebanan keluarga mangsa korban Covid-19, Perkeso menggesa setiap waris mangsa memaklumkan segera status mereka setelah tamat tempoh kuarantin.

“Perkeso akan memastikan kebajikan semua pencarum terbela dengan membuat semakan kelayakan dan pemantauan berterusan ke atas perkembangan kes Covid-19 dari semasa ke semasa berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 8:31 AM