AHMAD Ramdzan. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Ramdzan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua Penolong Pengarah E9, Cawangan Khas Datuk Ahmad Ramdzan Daud dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu menerusi pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa esok.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata selain Ahmad Ramdzan, pertukaran kali ini turut membabitkan 19 lagi pegawai kanan di seluruh negara.

Beliau berkata antara yang terbabit ialah Ketua Penolong Pengarah E7, Cawangan Khas Senior Asisten Komisioner Aida Abdul Hamid yang akan menggantikan jawatan Ahmad Ramdzan.

"Sementara Komander Pasukan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Mohd Hishamudin Tahar yang dilantik menjadi Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) diganti oleh Timbalan Komander (Operasi) Datuk Noor Sham Md Jani.

"Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Pusat Bekalan Polis) Bahagian Fasiliti/Bekalan/ Aset Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Asisten Superintendan Puspanathan Wiresingam akan menggantikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan memangku pangkat Deputi Komisioner," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata Pegawai Turus E2B Cawangan Khas Bukit Aman Asisten Komisioner Johari Mohamed pula bakal menggantikan jawatan diisi Aida sebelum ini dan jawatannya pula bakal dipertanggungjawabkan kepada Superintendan E2B1, Cawangan Khas Superintendan Md Khairuddin Hussin.

"Pertukaran dari negeri juga melibatkan Ketua Cawangan Khas Selangor Senior Asisten Komisioner Izan Bakri yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas Bukit Aman dan Pegawai Turus E1 Cawangan Khas Sabah Superintendan Nik Hadzrami Mat Hassan pula dilantik sebagai Pegawai Turus E3B cawangan sama di Bukit Aman.

"Selain itu, di Melaka, Timbalan Ketua Cawangan Khas, Risikan dan Operasi Superintendan Mohamed Mahat dilantik menjadi Ketua Cawangan dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Menurutnya, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa akan dilantik sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Perak manakala Ketua Polis Daerah Mersing, Johor Superintendan Cyril Edward Nuing @ Hillary dilantik menjadi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Siasatan/Perundangan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 3:52 PM