Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat enam pegawai kanannya berkuat kuasa pada 21 September.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dinaikkan pangkat sebagai Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kinarut, Sabah yang baharu.

Menurutnya, Mohd Abduh akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

"Selain itu, Superintendan Nur Azlin Lim Wee Lin dari Cawangan Khas Bukit Aman dilantik sebagai Pegawai Turus E3F Cawangan Khas.

"Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif pula ditukarkan sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmawati berkata, Pegawai Turus Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, Superintendan Low Hang Seng pula dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Katanya, Penolong Pengarah (Pengurusan Fasiliti) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Superintendan Basri Abu Bakar dilantik sebagai Penolong Pengarah (Telekomunikasi) di jabatan sama.

Beliau berkata, turut dinaikkan pangkat adalah Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalulintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Gan Chip Pho sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Pahang.

"Kesemua mereka akan memangku pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 9:57 PM