GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali antara lima pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 15 November ini.

Superintendan Komunikasi Korporat PDRM, Superintendan A Skandaguru dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Muhammed Hasbullah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik (JSJK) Bukit Aman.

Pertukaran lain membabitkan Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Kominsioner Sapii Ahmad yang dilantik sebagai Ketua JSJ Sabah dan jawatannya akan diganti Ketua Penolong Pengarah, Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Dennis Lim Kwang Keng.

"Jawatan disandang Dennis akan digantikan Timbalan Ketua Staf Perisikan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Kementerian Dalam Negeri Asisten Komisioner Habibi Majinji dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner," katanya.

Selain itu, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Hisham Mohamad Idris dilantik sebagai Pengarah Cawangan Operasi, Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 12:37 PM