DUA mangsa yang dilaporkan hilang di Bukit Wang Perah ditemukan selamat oleh pasukan bomba. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DUA mangsa yang dilaporkan hilang di Bukit Wang Perah ditemukan selamat oleh pasukan bomba. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di kawasan sungai Bukit Wang Perah malam tadi ditemukan selamat hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra menerima aduan berhubung dua orang hilang melalui pengadu iaitu seorang wanita pada jam 2.50 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Kop Che Dan tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik anggota BBP Jitra tiba di lokasi, didapati kawasan mangsa hilang itu ialah kawasan jagaan BBP Bukit Kayu Hitam dan mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian serta mengaktifkan Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Kampung Wang Perah atas nasihat polis.

"PKO menghadapi kesukaran ke lokasi tempat kejadian kerana banjir mengakibatkan jambatan runtuh," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kedua-dua mangsa ditemukan selamat di seberang sungai berhampiran Bukit Wang Perah iaitu kira-kira lapan kilometer dari PKB pada jam 8.20 pagi tadi.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh Ketua BBP Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf bersama anggotanya.

Katanya, kedua-dua mangsa berusia 35 dan 50 tahun dipercayai lari ke bukit selepas berlaku kepala air. "Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti berkaitan air seperti di sungai, air terjun dan tasik pada waktu cuaca tidak menentu kerana bimbang berlaku kepala air.

"Kawasan Wang Perah ini adalah antara 39 lokasi yang dikenal lokasi berlakunya kepala air di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 10:48 AM