ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah kondominium di Desa Petaling. FOTO ihsan PDRM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah kondominium di Desa Petaling. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Enam kereta musnah dalam kebakaran di sebuah kondominium di Desa Petaling, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras terima maklumat berkaitan kejadian kebakaran membabitkan kenderaan di sebuah kondominium di Desa Petaling jam 9.40 malam.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah, Balai Polis Salak Selatan Baru sampai ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati, kebakaran membabitkan enam buah kereta dan dipercayai bermula dari sebuah kereta di Aras 3B dan kemudian merebak kepada kereta yang diletakkan di Aras 3C dan 2B.

"Kebakaran berjaya dikawal pihak bomba daripada Balai Bomba Sri Petaling dan Balai Bomba Sungai Besi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 4:40 PM