ENAM lelaki ditahan polis di sebuah pangsapuri di Cheras kerana terbabit dalam kegiatan penipuan. FOTO ihsan polis
ENAM lelaki ditahan polis di sebuah pangsapuri di Cheras kerana terbabit dalam kegiatan penipuan. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Enam lelaki ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di sebuah pangsapuri di Cheras, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Superintendan Tan Poh Cheok berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Bahagian Siasatan Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek yang ditahan masing-masing lima lelaki warga asing serta seorang lelaki tempatan berusia 20 hingga 23 tahun.

"Suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan skim pelaburan dalam talian.

"Dalam serbuan itu, polis merampas enam unit komputer riba dan 12 unit telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati sindiket mula beroperasi sejak sebulan lalu dengan mensasarkan mangsa dari China," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan sebarang bentuk skim pelaburan atas talian dan segera tampil menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan kes penipuan pelaburan ini.

Beliau berkata, maklumat mengenai sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 /0585 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:34 PM