BAYI perempuan yang ditemui berhampiran kedai makan Ahad lalu. FOTO Tular
BAYI perempuan yang ditemui berhampiran kedai makan Ahad lalu. FOTO Tular
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penduduk Apartmen Sri Rakyat di Bandar Baru Bukit Jalil, di sini, menemui bayi perempuan yang ditinggalkan di dalam beg, Ahad lalu.

Bayi malang itu ditemui berhampiran kawasan kedai makan apartmen berkenaan jam 10.49 pagi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, susulan daripada laporan yang diterima sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Jalil dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi perempuan yabg dianggarkan berusia dua bulan itu ditemui orang awam di dalam sebuah beg dan diletakkan di kawasan kedai makan.

"Pasukan perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) tiba di lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan ke atas bayi terbabit.

"Sebaik pemeriksaan dijalankan, bayi terbabit disahkan dalam keadaan sihat dan dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan ibu bapa bayi terbabit untuk siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 013-2165881 atau Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-2146 0584 / 585.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:26 PM