MOHD Reza berucap ketika Majlis Penutup Ex Kerismas. FOTO Ihsan TLDM
MOHD Reza berucap ketika Majlis Penutup Ex Kerismas. FOTO Ihsan TLDM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Latihan Eksesais Mega Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Ex Kerismas yang dijalankan selama 21 hari di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan sekitar Laut China Selatan bermula 3 Oktober lalu berjaya mencapai sasaran.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, eksesais tahunan membabitkan 23 kapal dan 2,073 warga TLDM itu penting bagi menguji tahap kesiagaan serta keupayaan Armada TLDM dalam melaksanakan operasi maritim berintensiti tinggi.

"Latihan ini turut disertai kapal selam, Submarine Rescue Ship, empat helikopter dan dua pesawat Unmanned Aircraft System.

"Ia turut membabitkan elemen Pasukan Khas Laut (Paskal) dan disokong dengan pembabitan tujuh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali gus menjadi antara latihan terbesar pernah dilaksanakan TLDM," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas penutupan Ex Kerismas di Pangkalan TLDM, di sini, hari ini.

Mohd Reza berkata, kali terakhir eksesais berkenaan dilaksanakan pada 2019 sebelum penularan pandemik Covid-19 mengakibatkan hampir semua aktiviti yang mendukung kepada peningkatan kesiagaan pertahanan terpaksa ditangguhkan.

"Sepertimana pelaksanaan eksesais sebelum ini, Ex Kerismas 27/2022 dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa selesai eksesais.

"Secara keseluruhan, sebanyak 88.7 peratus siri latihan yang dijadualkan berjaya dilaksanakan. Manakala 11 peratus latihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan faktor cuaca dan isu kerosakan aset.

"Malah, beberapa siri latihan peperangan maritim empat dimensi juga tidak dapat dilaksanakan pada tahap optimum disebabkan kekangan keupayaan tempur," katanya.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, hasil penemuan eksesais berkenaan akan dijadikan sebagai panduan dalam aspek perancangan pembangunan masa hadapan TLDM.

"Walaupun keadaan laut bergelora pada sebahagian tempoh fasa di laut, eksesais ini tetap dilaksanakan demi mencapai objektifnya.

"Tanpa komitmen jitu dan pengorbanan tinggi oleh semua warga TLDM, pasti kejayaan eksesais ini tidak tercapai. Ini menjadi bukti bahawa warga TLDM kekal profesional dalam memainkan peranan tanpa mengira pangkat.

"Kesungguhan dan komitmen warga TLDM harus dijadikan contoh oleh generasi akan datang untuk bersikap positif dan terus iltizam dalam mengoperasikan kapal walaupun berdepan kekangan," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bimbang terhadap kemampuan semasa aset-aset Armada TLDM kerana bukan saja sudah berusia, tetapi bersaiz kecil.

Katanya, seperti skuadron Fast Atack Craft (FAC) yang menjangkau usia lebih 40 tahun dan bersaiz kecil, ia dilihat tidak lagi mampu beroperasi secara efisien di Laut China Selatan.

"Malah, lebih membimbangkan ialah tahap keselamatan aset terlalu berusia ini. Statistik yang terkumpul sepanjang eksesais menunjukkan trend kerosakan secara konsisten dialami oleh kapal yang sudah berusia.

"Inilah cabaran yang perlu didepani, namun TLDM tetap komited untuk terus memastikan kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) kekal selamat dan menggalas tanggungjawab ini sedaya mungkin dengan mengoptimumkan keupayaan aset sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 4:03 PM