Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany
Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memenuhi 100 peratus keperluan operasinya sepanjang 2021, kata Panglimanya, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Mohd Reza berkata, operasi itu merangkumi tujuh operasi rutin, tiga operasi berkala di armada barat dan armada timur serta operasi benteng di bawah kendalian Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF).

"Pencapaian ini membuktikan armada TLDM sentiasa siap siaga dan mampu memenuhi setiap tugasan yang diberikan.

"Bagaimanapun, secara purata, kesiagaan aset TLDM masih berada pada tahap yang memuaskan sahaja dan belum mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya pada perutusan tahun baharu hari ini.

Mohd Reza berkata, masih banyak ruang dan usaha yang perlu dipertingkat bagi memastikan kesiagaan aset TLDM mampu mencapai tahap terbaik.

Mohd Reza berkata, untuk memastikan aset TLDM yang berdaya tahan atau 'sustainable' serta berkemampuan untuk memenuhi keperluan operasi, beberapa program pembaikan telah dirancang dan dilaksanakan sepanjang 2021.

"Antaranya program 'repowering' yang sudah dilaksanakan ke atas lima kapal dan tiga bot tempur. Pelaksanaannya berjaya meningkatkan keupayaan kuasa gerak aset tersebut ke tahap yang jauh lebih baik.

"Selain itu, pelaksanaan 'Obsolescence Program' (OP) ke atas Kapal Diraja (KD) Perkasa bermula pada 4 Ogos 2021 dan dijangka siap pada 31 Mei ini. Program OP ini seterusnya dirancang untuk dilaksanakan ke atas KD Perdana dan KD Ganyang pada pertengahan tahun ini," katanya.

Mohd Reza berkata, kesemua program itu bukan sahaja dapat meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara.

Kata Mohd Reza, TLDM turut menerima enam 'Fast Combat Boat' (FCB) dan tiga bot serba guna.

Mohd Reza berkata, perolehan aset-aset ini secara tidak langsung meningkatkan keupayaan TLDM, khususnya terhadap platform pemintas yang amat diperlukan dalam melaksanakan Op Benteng bagi mengawal sempadan perairan negara.

"Dalam pada itu, TLDM bakal menerima beberapa lagi aset baharu. Antaranya tiga helikopter operasi maritim (HOM) pada pertengahan tahun ini. Alhamdulillah, perkembangan terkini projek HOM ini amat positif iaitu kesemua helikopter telah berada pada fasa akhir pembinaan.

"Selain itu, TLDM juga bakal terima lima bot jenis 'Divers RHIB' secara berperingkat pada tahun ini. Dengan adanya aset-aset ini, ia diharap akan dapat meningkatkan lagi keupayaan TLDM bagi memenuhi keperluan operasi, khususnya operasi menyelam," katanya.

Beliau berkata, TLDM akan meneruskan kelangsungan pembangunan armada TLDM yang sesuai dengan perancangan program Transformasi TLDM '15 to 5'.

"Bagi menentukan kesinambungan Transformasi TLDM diteruskan, beberapa projek dirancang (untuk) dilaksanakan pada tahun ini, antaranya perolehan 13 buah FCB, perolehan kelengkapan subsistem persenjataan anti-permukaan dan anti-kapal selam serta penggantian pelbagai kenderaan TLDM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 3:16 PM