RASIP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuantan. FOTO Asrol Awang
RASIP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar berusia 53 tahun dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 24 pertuduhan menerima wang berjumlah RM4,800.

Rasip Majid yang kini bertugas di Balai Polis Merlimau, Melaka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suatu benda berharga iaitu wang RM200 dengan tanpa balasan daripada seorang individu ke dalam akaun bank miliknya sebanyak 24 kali.

Wang terbabit didakwa dipindahkan melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank Rasip antara 7 Disember 2016 hingga 15 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut iaitu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana berpendapatan kira-kira RM6,000 sebulan dan perlu menyara kedua ibu bapanya selain anak masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, Ahmad Zamzani mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 itu dengan syarat tambahan.

Tertuduh diperintahkan supaya melapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan bermula November ini sehingga kes selesai.

Ahmad Zamzani memberitahu, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah manakala tarikh semula semula kes bagi membolehkan Rasip melantik peguam pada 21 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:48 PM