Bekas penolong setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Mohd Hafiz Ahmad, 41, (tengah) didakwa menerima suapan RM2,300 daripasa pengurus syarikat pembinaan.
Bekas penolong setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Mohd Hafiz Ahmad, 41, (tengah) didakwa menerima suapan RM2,300 daripasa pengurus syarikat pembinaan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM2,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Hafiz Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa sebagai seorang penjawat awam di Kementerian Pengangkutan menerima wang berjumlah RM2,300 daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang diketahui tertuduh mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Tertuduh yang kini bertugas di bahagian Sumber Manusia Kementerian Pendidikan didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh di sini, masing-masing pada 20 Februari, 15 April dan 21 Mei 2020.

Oleh itu, bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zahariman Keman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Zahariman turut mencadangkan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan.

"Jumlah jaminan yang ditawarkan adalah munasabah untuk mengikat dan menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah. Jumlah ini juga tidak bersifat menghukum atau berlebihan," katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 selain membantah cadangan pihak pendakwaan berhubung syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

"Jumlah yang ditawarkan itu terlalu tinggi, mohon dikurangkan kepada RM5,000 sahaja.

"Tiada keperluan untuk anak guam menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana tiada bukti dan tindak tanduk menunjukkan tertuduh mahu melarikan diri.

"Bagaimanapun pihak pembelaan tiada bantahan terhadap cadangan syarat tambahan untuk melapor diri ke pejabat SPRM," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:52 PM