Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan negeri meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemeriksaan secara berkala bangunan dan kelengkapan sekolah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengulas demikian susulan insiden seorang murid perempuan di negeri ini patah jari tangan kiri selepas kipas siling dalam bilik darjah terjatuh dan menimpanya pagi semalam.

Saarani berkata, SOP itu perlu bagi memastikan insiden seumpamanya itu tidak berulang.

Katanya, difahamkan Pejabat Pendidikan Daerah akan membuat laporan kepada Pengarah Pendidikan Daerah berhubung kes itu.

"Apabila tiap-tiap satu kes berlaku kita berharap semua sekolah akan mengambil tindakan untuk sentiasa menyemak dan memeriksa secara berkala kelengkapan elektrik dan semua perkara agar bangunan dalam keadaan selamat.

"Kadang-kadang bukan sahaja kipas tetapi siling boleh jatuh kerana sudah lama.

"Jadi, dengan peristiwa begini saya berharap akan ada satu SOP yang dibuat oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah masing masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

SAARANI ketika ditemui media. FOTO L Manimaran.
SAARANI ketika ditemui media. FOTO L Manimaran.

Saarani berkata, pemeriksaan berkala sama ada setahun atau enam bulan sekali ini boleh memastikan semua kelengkapan dalam keadaan baik.

"Betullah orang kata malang tidak berbau, tetapi kalau kita buat semakan berkala mungkin kita dapat mengesan (sebarang kerosakan)," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Selama patah jari tangan kiri selepas kipas siling dalam bilik darjah terjatuh dan menimpanya.

Dalam kejadian 10 pagi itu, difahamkan tiga lagi murid perempuan masing-masing berusia lapan tahun turut mengalami kecederaan ringan.

Berita berkaitan:

  • Murid patah jari tangan, kipas siling jatuh
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 5:46 PM