TENTERA Israel berjalan melepasi terowong Hamas yang ditemukan di Gaza. FOTO Reuters
TENTERA Israel berjalan melepasi terowong Hamas yang ditemukan di Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Seorang pegawai Hamas meremehkan pendedahan tentera Israel yang menemukan 'terowong terbesar" Hamas , dengan mengatakan kemudahan itu sudah mencapai misinya, lapor AFP.

Pegawai Kanan Hamas, Osama Hamdan pada sidang media di Beirut berkata, penemuan itu dianggap sudah terlambat.

"Penerbitan imej terowong panjang, 72 hari selepas permulaan pencerobohan, ia terlambat. Terima kasih kepada terowong ini, misi yang ingin kami capai dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Terdahulu, pada 17 Disember lalu, tentera Israel menunjukkan imej terowong terbesar yang ditemukan setakat ini di Gaza, berhampiran lintasan Erez, antara wilayah Palestin dan Israel.

Tentera berkata, laluan bawah tanah itu membentuk sebahagian daripada rangkaian terowong yang lebih luas yang menjangkau jarak lebih empat kilometer (km).

Israel berkata, terowong itu menelan kos berjuta-juta dolar dan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, dan mempunyai rel, elektrik, saliran dan rangkaian komunikasi.

Bahkan, terowong itu didakwa tentera sebahagian daripada infrastruktur strategik Hamas dan akan dimusnahkan oleh tentera zionis itu.

Dalam video yang dikongsi oleh tentera Israel, mereka mendakwa terowong itu dicipta untuk pergerakan Hamas dan sebagai titik pelancaran untuk serangan.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, tentera Israel mendakwa bahawa sistem terowong itu adalah projek Muhammad Sinwar, abang kepada pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.

Bagaimanapun, mereka juga tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 19,453 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, lapor Agensi Anadolu yang memetik Kementerian Kesihatan Gaza, Isnin lalu.

Jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra pada sidang akhbar berkata, 52,286 orang turut cedera dalam serangan itu.

Israel mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, mengenakan kepungan, dan melancarkan serangan darat sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober.

Hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas, manakala hampir 130 tebusan kekal dalam tahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 10:34 AM