Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini, hilang kawalan dan terbabas sebelum dilanggar kereta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kemalangan terbabit berlaku pada 9.30 pagi.

"Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengejar seorang penunggang motosikal yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya JPJ di lorong motosikal di Plaza Tol Gombak.

"Mangsa mengejar dalam keadaan melawan arus di lorong kecemasan dari arah Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri jalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.

"Saksi kejadian dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 4:35 PM