Oleh Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperuntukkan hampir RM500,000 kepada 2,500 pesara tentera di seluruh negara yang terkesan dengan banjir.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, bantuan diagihkan kepada veteran yang terjejas oleh bencana alam itu di Terengganu, Kelantan serta beberapa negeri lain termasuk Sabah serta Sarawak.

Katanya, bantuan adalah bukti JHEV ATM serta Kementerian Pertahanan peka dengan nasib pesara tentera yang ditimpa musibah selain berusaha menjaga kebajikan mereka sebaiknya.

"Sumbangan terdiri daripada kit bantuan yang mengandungi barangan penjagaan diri, makanan dan beberapa keperluan asas lain. Penyerahan sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir sekali gus menampung keperluan sementara mereka.

"Kesemua penerima dikenal pasti dengan bantuan persatuan veteran ATM di setiap negeri. Justeru pesara diseru sentiasa aktif dan berhubung dengan mana-mana wakil persatuan bagi memudahkan pihak kami menyalurkan bantuan jika memerlukan.

"Aduan dan suara veteran sentiasa menjadi keutamaan pihaknya terutama dalam menyediakan skim bagi membantu golongan memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan banjir kepada pesara tentera di Masjid Baiturrahman, Kampung Gual Nering di sini, hari ini.

Zambery yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM), turut berkongsi beberapa skim bagi membantu pesara seperti Bantuan Bencana Alam, Inisiatif Perumahan Veteran ATM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan Pengajian Tinggi dan Bantuan Sara Hidup.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya turut menyediakan Skim Bantuan Bencana Alam sehingga RM10,000 bagi membaiki rumah veteran ATM yang rosak akibat bencana alam seperti tanah runtuh, ribut atau banjir dan kebakaran.

"Mereka yang layak boleh membuat permohonan dan pihak kami akan membuat siasatan. Jika berkelayakan, mereka akan dibantu melalui skim yang ditawarkan itu," katanya.

Zambery (dua kanan)  menyerahkan sumbangan bantuan banjir kepada sebahagian Veteran ATM. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zambery (dua kanan) menyerahkan sumbangan bantuan banjir kepada sebahagian Veteran ATM. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 2:58 PM