Norzamira Che Noh

Klang: Pekerja bengkel dipenjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki di tepi jalan hadapan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohd Faizul Nazri, 39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Mohd Faizul diarah untuk menjalani hukuman penjara daripada tarikh dia ditangkap.

Dia turut diarah untuk menjalani hukuman penjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.

Siti Zubaidah dalam penghakimannya berharap agar tertuduh mengambil iktibar dengan kejadian itu selain mengingatkan tertuduh supaya tidak mengikut perasaan serta menunjuk hebat di jalan raya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Faizul dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah dan retak tulang rahang ke lapan sebelah kiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan, hadapan lampu isyarat Jalan Langat - Klang menghala ke Klang pada jam 7.15 malam, Ahad lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

MOHAMED Azmin pada sidang media selepas sidang DUN Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
MOHAMED Azmin pada sidang media selepas sidang DUN Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Nicholas Cheoh memohon agar tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan minimum daripada tarikh ditangkap.

"Saya difahamkan isteri tertuduh sedang sarat mengandung dan dia berhasrat untuk berada di sisi isterinya bila melahirkan anak pertama mereka.

"Tertuduh juga menyesal dan memberi aku janji tidak akan mengulangi kesalahan itu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi memohon mahkamah memberikan denda setimpal berikutan terdapat saksi tertuduh bertindak tanpa belas kasihan sehingga mencederakan mangsa.

"Mangsa dalam kes ini retak di bahagian rahang dan kes gangsterisme di jalan raya sering berlaku. "Saya memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan saja pada tertuduh tetapi orang awam," katanya.

Terdahulu pada Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan dari mangsa, seorang warga tempatan berusia 21 tahun mendakwa ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

Beliau berkata, mangsa melaporkan seorang daripada lelaki berkenaan bertindak memukul dan merosakkan motosikal miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:28 PM