ANTARA ikan yang dijual di Pasar Pagi Jalan Ara Kiri, Bangsar, Kuala Lumpur.
ANTARA ikan yang dijual di Pasar Pagi Jalan Ara Kiri, Bangsar, Kuala Lumpur.
Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan ikan ketara susulan fasa peralihan Monsun Timur Laut menjadi punca kenaikan harga bahan mentah itu mencecah sehingga 25 peratus.

Tinjauan dilakukan wartawan di pasar pagi Jalan Ara Kiri, Bangsar, di sini tadi, mendapati terdapat peniaga ikan menjual beberapa jenis ikan pada harga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai May, 60, berkata, harga ikan menjadi tidak menentu terutama membabitkan ikan kembung yang popular dikalangan pembeli di pasar itu.

"Bekalan ikan ini saya perolehi dari Pasar Borong Selayang. Harga ikan jelas mengalami kenaikan sejak dua hari lalu.

"Sebelum ini ikan kembung dijual pada harga RM20 sekilogram. Namun, disebabkan bekalan ikan berkurangan, saya terpaksa menjualnya pada harga RM25 sekilogram," katanya.

May berkata, meskipun berlaku kenaikan harga ikan namun pelanggan tetap datang untuk membeli bahan mentah berkenaan.

"Selain ikan kembong, kebanyakan pelanggan suka membeli ikan bawal putih, ikan tenggiri selain pelbagai ikan lain," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah mahu dikenali sebagai Lian, 65, dia terpaksa membelanjakan lebih wang bagi membeli ikan ketika ini.

Menurutnya, walaupun bahan mentah itu mengalami kenaikan harga namun dia tiada pilihan berikutan hidangan ikan menjadi pilihan utama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:38 PM