Rosli (kiri) bersama Mohd Jefri menunjukkan ikan tenggiri dan bawal yang mendapat permintaan tinggi di Kompleks LKIM  Kuala Besut, hari ini. Foto Nurul Fatihah Sulaini
Rosli (kiri) bersama Mohd Jefri menunjukkan ikan tenggiri dan bawal yang mendapat permintaan tinggi di Kompleks LKIM Kuala Besut, hari ini. Foto Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


PERMINTAAN terhadap ikan tenggiri meningkat sekali ganda pada Ramadan ini sehingga ada peraih yang kebiasaannya menjual 30 kilogram (kg) ikan tenggiri kini perlu memenuhi permintaan sehingga 60 kg.

Selain itu, beberapa jenis ikan lain turut mendapat permintaan mendadak di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut, daripada orang ramai terutama peniaga makanan di bazar Ramadan.

Seorang peraih ikan, Rosli Mohd, 30, berkata, beberapa jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan ialah tenggiri, bawal dan kembung.

Menurutnya, harga ikan tenggiri mencecah RM32 untuk sekilogram berbanding hari biasa sekitar RM25 dan berlaku kenaikan hingga RM7 kerana bekalan ikan tidak sentiasa ada tetapi permintaan terus meningkat.

“Ikan bawal pula kini mencecah RM18 sekilogram berbanding antara RM15 hingga RM16 bagi sekilogram sebelum ini.

“Ikan kembung pula dijual pada harga RM10 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Kompleks LKIM Kuala Besut, hari ini.

Menurutnya, antara jenis ikan kurang mendapat permintaan pada Ramadan ialah ikan aya atau tongkol dan terpaksa dijual dengan harga RM5 sekilogram dan kembung kecil pada harga RM8 sekilogram.

“Permintaan harga bekalan bahan mentah meningkat mungkin disebabkan faktor lebih ramai orang memilih untuk memasak atau menjalankan perniagaan berasaskan lauk-pauk pada bulan puasa ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peraih ikan, Mohd Jefri Mohd, 29, berkata, kebiasaan pembeli yang mahu mendapatkan bekalan ikan segar tenggiri atau bawal datang awal pagi ke situ kerana bimbang bekalan ikan habis.

“Kompleks ini dibuka setiap hari seawal jam 4 pagi untuk pemborong dan 7 pagi untuk orang ramai mendapatkan ikan segar sehingga jam 12 tengah hari, bergantung pada bekalan ikan daripada nelayan,” katanya.

Mohd Jefri berkata, kompleks LKIM itu terkenal dalam kalangan penduduk yang mahu mendapatkan ikan segar kerana nelayan menggunakan bot kecil atau sederhana turun ke laut dan pulang membawa bekalan ikan segar setiap hari.

“Jika di sesetengah tempat lain yang menggunakan bot besar, nelayan akan bermalam di laut beberapa hari dan ikan disimpan dalam ais sebelum dibawa pulang ke darat, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:38 PM