Helmy Abd RahmanShamsul Munir SafiniMahaizura Abd Malik dan Noorazura Abdul dan Nor Farhani Che Ad


Kuala Lumpur: Harga lima jenis ikan utama di pasar beberapa negeri mengalami kenaikan ketara sejak bulan lalu berikutan kekurangan bekalan atas faktor cuaca.

Tinjauan Harian Metro di pasar dan jeti pendaratan ikan di ibu negara, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mendapati harga hidupan laut itu tidak menentu, malah ada spesies ikan mengalami kenaikan tiga kali ganda.

Di Kedah misalnya, harga ikan kembung naik mendadak daripada RM4 sekilogram kepada RM12 hingga RM15 sebelum ini.

Begitu juga dengan ikan pelaling yang mengalami kenaikan harga daripada RM18 kepada RM20 sekilogram, selayang (RM10 kepada RM15 hingga RM18), bawal emas (RM25 kepada RM28) dan udang harimau naik RM75 daripada RM65.

Peraih ikan di jeti Kuala Muda, Butterworth, Pulau Pinang pula mendakwa kenaikan harga ikan turut berkait dengan kedatangan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

INFO GRAFIK.
INFO GRAFIK.

Di ibu negara, peniaga mendakwa harga ikan memang sudah berada pada paras tinggi untuk tempoh agak lama sebelum ini.

“Harga ikan mahal sebab bekalan kurang akibat ribut dan bulan terang, jadi kita ambil bekalan ikan beku dari Thailand dan Indonesia,” kata Faridzawan Abd Rashid, 24, peniaga ikan di Pasar Chow Kit, semalam.

 TINJAUAN harga ikan berikutan kerajaan melarang mengeksport ikan Kembong, ikan selar dan ikan pelaling di Pasar Chow Kit.
TINJAUAN harga ikan berikutan kerajaan melarang mengeksport ikan Kembong, ikan selar dan ikan pelaling di Pasar Chow Kit.

Peniaga itu memberitahu, harga ikan tidak menentu sejak empat minggu lalu disebabkan faktor cuaca.

“Harga ikan memang tak boleh dikawal kerana ikut musim cuaca.

“Kalau cuaca tidak elok, tangkapan berkurangan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati harga ikan seperti selar hijau dijual pada RM26 sekilogram (kg), selar kuning (RM14), kembung (RM22), pelaling (RM22), selayang RM12 manakala bawal putih (RM40), bawal hitam (RM36) dan bawal emas (RM36).

Faridzawan yang berpengalaman lapan tahun dalam perniagaan itu mengakui, mereka terpaksa menjual sumber protein itu dengan mahal kerana mengikut harga pembekal.

“Kami terpaksa jual ikut harga orang tengah (pemborong). Kalau untung pun cuma RM2 ke RM3 sekilogram. Ada kalanya kami terpaksa menanggung kerugian kerana sudah mengeluarkan modal lebih,” katanya.

Sementara itu, harga ikan di sekitar Sentul, Pasar Borong Selayang dan Kuala Lumpur dilihat lebih murah dan normal.

Ikan selayang dijual pada harga antara RM8 ke RM10, selar (RM9 ke RM14), kembung RM10 ke RM16, pelaling (RM7 ke RM10) dan bawal (RM16 ke RM20) masing-masing mengikut jenis, saiz dan gred.

PENIAGA ikan di Seberang Kota, Kuala Kedah menjual beberapa jenis ikan saja berikutan bekalannya berkurangan.
PENIAGA ikan di Seberang Kota, Kuala Kedah menjual beberapa jenis ikan saja berikutan bekalannya berkurangan.

Peniaga ikan Pasar Borong Selayang, Zakaria Mohd Yahya, 40, berkata, harga berkenaan sudah kembali normal berbanding seminggu lalu.

“Ini harga paling rendah dan berpatutan. Seminggu lalu, ikan kurang kerana nelayan tidak turun akibat faktor cuaca buruk seperti angin kuat dan hujan.

“Jadi kita terpaksa ambil ikan import dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Myanmar bagi menampung tangkapan di perairan negara seperti di Kuala Selangor, Pantai Timur, Pulau Ketam, Sekinchan dan Selat Melaka,” katanya.

Katanya, mereka masih cuba meletakkan harga ikan berpatutan kerana tidak mahu membebankan pelanggan tetap yang biasanya beli bahan basah itu pada kuantiti sedikit.

“Kita kekalkan harga. Kalau ambil dari pemborong mahal, kita jual mahal sedikit saja daripada biasa.

“Dapat untung dalam RM1 sekilogram okey lah.

“Kita tak boleh tekan harga sangat kerana pelanggan kami kebanyakannya orang biasa, bukan berniaga (beli pukal),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 10:00 AM