ANTARA ikan yang dijual di Pasar Kajang. FOTO Azhar Ramli
ANTARA ikan yang dijual di Pasar Kajang. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: "Jika dulu belanja dapur RM100 boleh beli banyak barang tetapi kini, hanya dua hingga tiga barang sahaja. Ini kerana, kebanyakan harga barangan termasuk ikan, meningkat," kata Noriah Ajil.

Noriah, 65, berkata, dia terpaksa pergi ke banyak pasar atau pasar raya untuk melihat harga paling murah ditawarkan sebagai kaedah untuk berjimat.

"Berdasarkan pemerhatian saya, ada lokasi yang menjual ikan pada harga murah dan ada juga yang jual pada harga mahal. Contoh, ikan kerisi kini dijual pada harga RM19 hingga RM20 sekilogram.

"Walaupun harga ikan naik tetapi saya terpaksa membeli tiga kilogram seminggu kerana ia ikan kegemaran saya dan suami.

"Namun, saya hanya membeli antara dua ke tiga ekor setiap jenis berbanding membeli mengikut kilogram kerana ia lebih murah," katanya ditemui di Pasar Kajang di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung Pasar Kajang, Muatun Ajil, 50, berkata, ada sebahagian jenis ikan naik harga namun ada juga yang turun harga.

"Memang sudah selalu harga ikan naik, namun tidak semua jenis ikan naik harga kerana ada juga jenis ikan yang turun harga.

"Disebabkan kenaikan harga tidak menentu ini, saya akan membeli bahan mentah secara selang seli antara ikan, ayam dengan daging," katanya yang juga penjawat awam.

Sementara itu, peniaga ikan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 59, berkata, kenaikan harga ikan kerap berlaku ketika musim perayaan.

"Menjelang perayaan Tahun Baru Cina, ada jenis ikan yang naik harga seperti ikan merah kerana permintaan tinggi selain faktor kekurangan bekalan.

"Namun, kenaikan harga itu tidak begitu ketara iaitu hanya RM1 hingga RM2 sahaja bagi setiap kilogram. Bagi ikan kecil seperti sardin atau selar kuning, harganya antara RM12 ke RM16 sekilogram.

"Ketika ini, tiada ikan yang dijual pada harga RM10 sekilogram ke bawah kerana julat harga ikan adalah RM10 ke atas," katanya yang mendapatkan bekalan di Pasar Borong Selayang.

Tinjauan wartawan di Pasar Kajang mendapati, ikan sardin dan ikan selar kuning dijual pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram.

Ikan lain seperti ikan merah pula dijual pada harga RM40 sekilogram.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 1:46 PM