PTPTN membantu pelajar membuat persediaan awal ke IPTA menerusi WPP berjumlah RM1,500.
PTPTN membantu pelajar membuat persediaan awal ke IPTA menerusi WPP berjumlah RM1,500.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) dengan peruntukan berjumlah RM42.4 juta kepada seramai 28,278 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Oktober 2022.

PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan WPP berjumlah RM1,500 bagi setiap seorang pelajar itu telah disalurkan kepada pelajar warganegara yang bersetuju menerima WPP melalui saluran yang ditetapkan oleh pihak PTPTN selain memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Tempoh sah laku WPP ini adalah selama dua bulan bermula 5 Oktober 2022 hingga 5 Disember 2022. Pelajar-pelajar boleh menunaikan WPP ini di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mulai 5 Oktober 2022 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

"Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 5 Oktober 2022 melalui portal rasmi PTPTN," katanya.

Dalam kenyataan sama, PTPTN turut memaklumkan pelajar yang telah membuat permohonan pinjaman PTPTN bagi tempoh 1 September hingga 30 September 2022 boleh membuat semakan kelulusan pinjaman bermula 11 Oktober lalu.

"Pelajar yang belum mengemukakan permohonan boleh membuat permohonan tersebut secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN sehingga 31 Oktober 2022 bagi kelompok kedua untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 1:31 PM