Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Serdang: Polis menahan warga emas dipercayai terbabit dengan lapan kes pecah masuk pejabat di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 61 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pendawaian kamera litar tertutup (CCTV) itu ditahan Selasa lalu.

Katanya, suspek yang berkhidmat dengan syarikat di Lembah Klang dipercayai melakukan aktiviti jenayah itu di premis yang pernah mendapatkan perkhidmatannya.

"Suspek mengambil masa satu hingga dua bulan untuk meninjau keadaan premis pejabat sebelum melakukan aktiviti pecah masuk pada waktu pagi iaitu pada hari cuti umum dan hujung minggu.

"Siasatan mendapati suspek bergerak solo dan aktif sejak awal tahun ini, membabitkan kes di Serdang, Petaling Jaya, Brickfields, Sentul dan Shah Alam," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman penjara kerana memiliki barang curi.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 11 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Anbalagan (tengah) bersama pegawainya melihat sebahagian barang rampasan pada sidang media di IPD Serdangkomputer riba dan telefon bimbit yang dirampas ketika sidang media di IPD Serdang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Anbalagan (tengah) bersama pegawainya melihat sebahagian barang rampasan pada sidang media di IPD Serdangkomputer riba dan telefon bimbit yang dirampas ketika sidang media di IPD Serdang. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 2:31 PM