ANBALAGAN (tengah) bersama anggotanya menunjukkan pistol dan peluru yang berjaya dirampas. FOTO  Owee Ah Chun.
ANBALAGAN (tengah) bersama anggotanya menunjukkan pistol dan peluru yang berjaya dirampas. FOTO Owee Ah Chun.
Amir Abd Hamid

Serdang: Seorang 'pusher' atau pengedar dadah kecil-kecilan yang dicekup dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini, pada 28 Disember lalu turut dikesan memiliki senjata api.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, ketika serbuan jam 10.40 malam itu polis bukan sahaja menemui dadah malah sepucuk pistol revolver jenis Smith & Wesson bersama tujuh butir peluru hidup di dalam poket seluar seorang daripada empat suspek yang ditahan.

"Pistol dan peluru ditemui di dalam poket seluar suspek pertama yang juga dalang kumpulan berkenaan manakala dadah seberat 33.55 gram (g) ditemui di atas meja biliknya.

"Modus operandi yang dijalankan semua suspek adalah menjalankan perniagaan dadah di sekitar kawasan daerah Serdang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, suspek pertama iaitu lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Selangor mempunyai pelbagai rekod kesalahan narkotik dan individu dikehendaki mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek mengaku membeli pistol dan peluru berkenaan daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019.

"Suspek memaklumkan pistol berkenaan dibeli untuk melindungi dirinya.

"Siasatan lanjut dan ujian balistik sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya senjata api berkenaan terbabit dalam sebarang kes jenayah lain sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap suspek kedua dan ketiga yang juga lelaki tempatan berusia 60 dan 32 tahun mendapati kedua-duanya mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 9:41 PM