ANTARA wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Bubut, Kepong Baru, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan Polis
ANTARA wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO yang ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Bubut, Kepong Baru, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan sebuah pusat hiburan di Jalan Bubut, Kepong Baru, di sini, menyediakan khidmat pelayan pelanggan wanita (GRO) bagi 'mengumpan' lelaki hidung belang terbongkar dalam serbuan Op Noda, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya membuat serbuan di premis berkenaan jam 9.45 malam tadi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 12 individu terdiri daripada 11 wanita warga asing berusia antara 22 hingga 39 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

"Kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis berusia 48 tahun dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, hasil siasatan dilakukan di pusat hiburan itu mendapati premis terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Hasil serbuan dilakukan, kami turut merampas peralatan-peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan, wang tunai RM200 dan dua resit pembayaran.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 kerana menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengajikan warga asing tanpa permit sah dan Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 8:52 PM