DUA lelaki menyerupai wanita antara 12 GRO ditahan di pusat hiburan. FOTO  ihsan Polis
DUA lelaki menyerupai wanita antara 12 GRO ditahan di pusat hiburan. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua lelaki warga asing menyerupai wanita antara 13 individu ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Taman Usahawan, Kepong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya membuat serbuan di pusat hiburan berkenaan pada 6.58 petang, semalam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 13 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis, dua lelaki warga asing yang menyerupai wanita serta 10 wanita warga asing.

"Semua warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 45 tahun itu dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan membawa kepada rampasan pelbagai peralatan sistem audio dan wang tunai berjumlah RM 159 dalam serbuan itu.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati premis itu pernah diserbu sebanyak lima kali bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah berselindung di sebalik pusat hiburan yang sudah beroperasi sejak tujuh bulan lalu dengan menawarkan khidmat GRO untuk mengumpan lelaki 'hidung belang,'" katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek lelaki tempatan mempunyai lima rekod pelbagai kesalahan, manakala 12 lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 B akta sama selain Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terbabit di dalam sebarang aktiviti yang kurang sihat. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-40482222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 12:12 PM