ANTARA GRO warga asing yang ditahan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA GRO warga asing yang ditahan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Guna pintu rahsia di belakang premis sebagai laluan masuk pelanggan selepas waktu operasi dibenarkan.

Itu helah digunakan sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini, untuk menjalankan operasi mereka tanpa dikesan pihak berkuasa selepas tempoh waktu dibenarkan.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melakukan serbuan di premis berkenaan jam 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menahan 19 individu dalam serbuan itu termasuk 13 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

"Dalam serbuan itu, kami menahan 13 GRO membabitkan 12 wanita dari negara jiran dan seorang wanita dari Eropah Timur yang berusia antara 22 hingga 38 tahun.

"Selain itu, kami turut menahan enam individu tempatan membabitkan pemilik premis, pengurus, penjaga kaunter serta pekerja di pusat hiburan berkenaan berusia antara 27 hingga 53 tahun.

"Kami turut melakukan pemeriksaan terhadap 34 pekerja serta 89 pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan ketika serbuan dengan dua daripada pelanggan diperiksa didapati positif dadah jenis methaphetamin," katanya.

Mohamad Noor berkata, premis berkenaan didapati menyambung waktu operasi perniagaan sehingga jam 8 pagi iaitu melebihi tempoh masa dibenarkan pihak berkuasa sehingga jam 12 tengah malam saja.

"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pusat hiburan itu menggunakan pintu rahsia di belakang untuk pelanggan keluar dan masuk selepas jam 12 tengah malam dengan hanya membenarkan pelanggan tetap untuk masuk.

"Malah, premis itu didapati mempunyai beberapa laluan khas lain yang menuju ke kawasan luar serta parkir untuk pelanggan serta GRO melarikan diri dengan keluar dari premis berkenaan semasa serbuan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, premis itu juga menyediakan perkhidmatan GRO warga asing yang hanya akan dibawa masuk ke dalam bilik karaoke oleh ejen sekiranya pelanggan bersetuju.

Katanya, pelanggan akan membuat pemilihan GRO melalui gambar menerusi aplikasi WhatsApp yang ditunjukkan oleh kapten yang juga pekerja pusat hiburan berkenaan dengan kadar bayaran ditetapkan.

"Kadar bayaran dikenakan bagi GRO warga adalah antara RM1,280 hingga RM2,080 untuk tempoh lima jam pertama dengan bayaran tambahan RM100 setiap jam dikenakan bagi sambungan masa langganan.

"Selepas pintu sempadan negara dibuka, bukan saja GRO dari negara jiran, malah ada GRO dari negara barat datang ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, pusat hiburan itu mempunyai kira-kira 20 bilik karaoke mengikut saiz kecil, sederhana dan besar dengan kadar bayaran bermula dari RM2,200 hingga RM8,000.

"Semua individu yang ditahan dan barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Seksyen 3 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 12:45 PM