LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan Perak mengkaji keperluan bagi memastikan operator pelancongan yang terbabit dalam aktiviti sukan lasak boleh dikawal selia melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi mengulas demikian susulan insiden wanita parah selepas all-terrain vehicle (ATV) dinaiki terjatuh dari tebing ke kawasan berbatu di air terjun dekat Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau kelmarin.

"Selalunya memang dikawal selia, ini (ATV) antara aktiviti yang masih lagi belum mendaftar secara rasmi.

"Jadi kita sedang mengkaji untuk memastikan operator pelancongan yang terbabit dalam aktiviti sukan lasak boleh dikawal selia melalui pihak berkuasa tempat (PBT) atau agensi yang sedia ada," katanya pada sidang media selepas melancarkan Perak Box Office di Hotel Weil di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pouch Nation, Goncalo Vaz de Carvalho dan Ketua Pegawai Eksekutif L'Univers, Shannon Lee.

Nolee Ashilin berkata, untuk tujuan itu pihaknya sudah beberapa kali menganjurkan bengkel bersama persatuan berkaitan sukan lasak.

"Di mana kita mencari satu formula untuk kita bantu mengawal selia secara lebih teratur apa yang ada pada hari ini," katanya.

Berkenaan insiden yang menimpa mangsa itu, beliau berkata, operator dipastikan ada mengambil insuran dan pengunjung menandatangani indemnity form untuk memastikan mereka mengetahui risiko sukan lasak diceburi.

"Kepada pengusaha kita berharap mereka dapat meneruskan dengan prosedur dan proses keselamatan yang ditetapkan dengan memberi taklimat terlebih dahulu dan mengambil insuran untuk perlindungan semua jenis kemalangan ini," katanya.

Kelmarin media melaporkan, Wanita parah, manakala rakannya terselamat selepas kenderaan all-terrain vehicle (ATV) dinaiki terjatuh dari tebing ke kawasan berbatu di air terjun dekat Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau.

Penumpang ATV, dikenali Nurhanis Zulaikha Zamri, 23, parah di kepala dan mulut, manakala pemandu tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 9:03 PM