Balqis Jazimah Zahari


Gopeng: Perak memperkenalkan satu lagi produk pelancongan terbaharu Cengkerik Eco Park di dalam Taman Herba Gopeng di sini yang diyakini mampu merancakkan lagi industri pelancongan di negeri itu.

Lokasi pelancongan yang kini di bawah kendalian The Treasure itu menawarkan pelbagai aktiviti keluarga antaranya taman permainan eko, petting zoo, soft archery, ATV, rumah burung, perkhemahan dan rumah ular.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kawasan pelancongan itu menambah nilai kepada aktiviti yang berada di Gopeng khususnya untuk kluster Geopark Lembah Kinta.

"Pihak The Treasure adalah operator baharu untuk Taman Herba di mana terdapat beberapa pengusaha lain termasuklah Cengkerik Eco Park ini.

"Jadi, Cengkerik Eco Park ini berada di dalam satu kawasan yang kita kira selamat untuk anak-anak bermain selain beberapa lagi aktiviti lain di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park di sini, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, produk baharu itu juga sekali gus akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Taman Herba sedia ada.

"Selain aktiviti yang di dalam Cengkerik Eco Park, beberapa perkhidmatan lain turut disediakan di sekitar Taman Herba itu sendiri seperti berkayak, ATV juga pelbagai aktiviti kanak-kanak termasuk perpustakaan digital.

"Melalui penambahan produk baharu ini, semestinya elemen Taman Herba itu tidak ditinggalkan kerana itulah ikon kita," katanya.

Sementara itu, berkenaan Festival Kucing Jalanan beliau berkata, program itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan kucing kurang upaya, kucing berhias, kucing unik dan kucing makan paling laju.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 4:49 PM
Nolee Ashilin merasmikan Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, Taman Herba Gopeng. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Nolee Ashilin merasmikan Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, Taman Herba Gopeng. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI