Norzamira Che Noh


Klang: Penghantar makanan yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Haji Sirat, di sini pada 23 September lalu disifatkan sebagai seorang suami yang penyayang serta anak yang bertanggungjawab.

Ibu Allahyarham Muhaimin Mohd Said iaitu Zailan Soid, 72, memaklumkan anak bongsu dari enam beradik itu sempat menghantarnya ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang bagi mengambil darah untuk rawatan kencing manis dan darah tinggi beberapa hari sebelum ditimpa kemalangan.

Katanya, anaknya itu juga akan memakaikan lampin pakai buang setiap malam bagi mengelakkan Zailan ke bilik air kerana bimbang wanita itu terjatuh.

"Dua malam (Rabu dan Khamis), Amin tidur disini (rumah ibunya) dan dia juga selalu menjaga makcik.

"Tahu-tahu kemalangan ( sehingga mengorbankan Muhaimin) siapa tidak terkejut. Dia yang sebelum ini banyak menguruskan keperluan serta banyak berbelanja untuk makcik.

"Duit tidak dapat ganti nyawa anak makcik, tapi makcik kena reda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rantau Panjang di sini, hari ini.

Azman Aziz (kanan) menyerahkan Pencen Penakat berjumlah RM883 sebulan dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 sebulan yang akan dibayar seeumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2000 kepada balu Allahyarham Muhaimin Mohd Said, Nur Izwana Othman, 26 (dua, kiri) di kediamannya di Rantau Panjang, hari ini. FOTO BERNAMA
Azman Aziz (kanan) menyerahkan Pencen Penakat berjumlah RM883 sebulan dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 sebulan yang akan dibayar seeumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2000 kepada balu Allahyarham Muhaimin Mohd Said, Nur Izwana Othman, 26 (dua, kiri) di kediamannya di Rantau Panjang, hari ini. FOTO BERNAMA

Terdahulu, Zailan menerima kunjungan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang menyampaikan faedah Perkeso kepada balu Muhaimin, Nur Izwana Othman, 26.

Katanya, Allahyarham Muhaimin sebelum ini bekerja sebagai kerani kilang di Pelabuhan Klang sebelum bekerja penghantar makanan sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Nur Izwana memberitahu, arwah suaminya itu selalu keluar lambat untuk bekerja seolah-olah tidak mahu meninggalkannya.

"Dia suami yang sangat baik dan selalu tolong saya sampai dia berat hendak pergi kerja dan akan pergi lambat.

"Kalau saya ada luka sedikit pun, dia akan sapu ubat dan pernah cakap sekiranya dia tiada, siapa yang akan sapukan ubat dan bukan senang nak dapat suami sepertinya," katanya.

Mengulas lanjut, Nur Izwana berkata, dia berkenalan dengan arwah suaminya selama enam bulan sebelum bertunang pada Oktober tahun lalu dan mendirikan rumah tangga September lalu.

Ditanya perancangan hidupnya selepas ini, Nur Izwana memaklumkan buat masa ini dia akan tinggal dan menjaga ibu mentuanya dalam tempoh idah.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, kemalangan yang membabitkan lima kenderaan itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal lain cedera parah di kedua belah kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 4:52 PM