Dr Othman (tengah) menyerahkan baucar FPM kepada Dr Syafiqah sambil disaksikan Basharudin (dua kiri). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Dr Othman (tengah) menyerahkan baucar FPM kepada Dr Syafiqah sambil disaksikan Basharudin (dua kiri). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


“SEHARI sebelum meninggal dunia, suami ajak saya ziarah kubur arwah ibunya kerana terlalu rindu dan ketika di kubur dia memberitahu saya apa-apa selepas ini dekat dengan ibu,” kata Dr Syafiqah Sukri, 28.

Menurutnya, dia tidak menyangka kata-kata itu petanda suaminya, Dr Mohammad Farid Ismail, 28, pergi meninggalkannya selepas terbabit kemalangan 23 Ogos lalu ketika dalam perjalanan pergi bekerja ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis.

Katanya, suaminya kerap menyebut mengenai ibunya sejak mereka berkahwin 14 Ogos lalu iaitu sembilan hari sebelum kejadian.

“Saya tak sangka suami pergi begitu cepat, kami tidak sempat berbulan madu kerana masing-masing sibuk dengan tugas, namun apabila kami ada masa bersama dia selalu bercerita mengenai arwah ibunya yang meninggal dunia Disember lalu.

“Setiap barangan peribadi, arwah lekat dan selitkan gambar arwah ibunya seperti di beg duit dan telefon bimbit, dari situ saya nampak betapa arwah sentiasa rindukan ibunya dan kemuncaknya apabila dia mengajak saya ke kubur ibunya di Pendang pada petang sehari sebelum arwah terbabit kemalangan.

“Apabila saya fikir semula, barulah saya tahu kenapa dia berkata apa-apa dekat dengan ibu, rupanya Allah SWT mahu menjemput suami saya kembali ke sisi-Nya.

“Alhamdulillah saya dan ahli keluarga dapat semadikan arwah berhampiran kubur ibunya,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Sri Pantai, Pantai Johor, Alor Setar hari ini.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, Dr Mohammad Farid yang dalam perjalanan ke HTF dari rumah mereka di Taman Sri Pantai meninggal dunia selepas kereta dipandu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis.

Dalam pada itu, kejadian menimpa mangsa mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) apabila semakan pertubuhan berkenaan mendapati arwah adalah pencarum PERKESO kerana bertugas secara lantikan kontrak.

Pengarah PERKESO Perlis Basharudin Khalid dan Timbalan Pengarah PERKESO Kedah, Mohd Asri Mohd Rasid hadir ke rumah Dr Syafiqah untuk menyerahkan baucar Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 selain Faedah Orang Tanggungan (FOT) seumur hidup yang dibayar secara bulanan dengan purata RM2,130 sebulan.

Turut hadir Pengarah HTF, Dr Othman Warijo dan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Dr Zaiton Udin.

Basharudin berkata, Allahyarham Dr Mohammad Farid layak menerima wang pampasan itu kerana terbabit kemalangan dalam waktu kerja.

“Menerusi semakan yang kami buat, isteri mangsa menerima dua jenis pampasan iaitu FPM dan FOT.

“Jadi hari ini bayaran FPM berjumlah RM2,000 dan FOT RM568 diberikan.

“Selepas ini, bayaran penuh FOT akan diberikan bermula bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:28 PM