STEVEN Sim menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa mendiang Tinesh Kumar, R Saraswathi, 51, dan K Ramachandaran, 54, semasa menziarahi keluarga mendiang bagi menyampaikan bantuan Perkeso. FOTO Mikail Ong
STEVEN Sim menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa mendiang Tinesh Kumar, R Saraswathi, 51, dan K Ramachandaran, 54, semasa menziarahi keluarga mendiang bagi menyampaikan bantuan Perkeso. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan laporan penuh dua kes kemalangan di tempat kerja membabitkan pekerja teknikal maut ketika menyelenggara lif di Jalan Burma, di sini, dan pekerja kilang meninggal dunia akibat terjatuh dari tempat tinggi ketika melakukan tugas pembersihan di Banting, Selangor disiapkan secepat mungkin.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) bertindak serta-merta menjalankan siasatan dan beliau menerima laporan awal berhubung tindakan yang dilaksanakan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berpandangan, laporan itu perlu disiapkan dengan kadar segera bagi memberikan keadilan kepada mangsa yang terkorban.

"Contohnya, notis diberikan kepada pihak majikan, namun laporan penuh kita memerlukan sedikit masa lagi kerana ia memerlukan perbincangan membabitkan polis, hospital dan sebagainya.

"Jadi, saya jangka mungkin (laporan penuh) akan dapat disiapkan dalam masa seminggu atau dua minggu ini," katanya kepada pemberita selepas menziarahi waris mendiang, R Tinesh di Taman Sri Pinang di sini, hari ini.

Pemuda berusia 28 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas kepalanya tersepit ketika melakukan kerja penyelenggaraan lif di sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Burma pada Selasa lalu.

Steven Sim berkata, keluarga pemuda itu akan mendapat dua faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan memandangkan mendiang belum berumah tangga, faedah akan diberikan kepada ibu dan bapanya.

"Semakan rekod caruman melayakkan waris mendiang untuk menerima bayaran berkala Faedah Orang Tanggungan (FOT) selain Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 secara sekali bayar.

"Kedua-dua ibu bapa mendiang, R Saraswathi, 51, serta K Ramachandran, 54, akan menerima bayaran FOT untuk sepanjang hayat. Seluruh warga KSM dan Perkeso menzahirkan ucapan takziah. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim berkata, Perkeso turut menyerahkan FOT dan FPM kepada waris kes kemalangan menyayat hati yang menimpa Nur Ahmad Yusoff Muei pada Rabu lalu.

Beliau berkata, pemuda berusia 22 tahun itu melapor diri sebagai pekerja sepenuh masa di sebuah kilang plastik pada 12 Disember lalu.

"Bagaimanapun, Nur Ahmad Yusoff yang mempunyai rekod caruman dan dilindungi menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dilaporkan terjatuh dari ketinggian lebih 24 meter ketika melaksanakan kerja pembersihan.

"Sehubungan itu, balu arwah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan layak menerima FOT dan FPM daripada Perkeso," katanya.

Menurutnya, bayaran berkala FOT akan diberikan kepada isteri arwah untuk sepanjang hayat, manakala bayi dalam kandungan pula layak menerima manfaat sama selepas dilahirkan dan sehingga mencapai usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Terdahulu, Steven Sim turut mengingatkan golongan majikan khususnya membabitkan sektor berisiko supaya memastikan dan meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja supaya pekerja bertugas dalam suasana selamat.

"Saya nak beri peringatan kepada semua majikan, bahawa tanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja, mengawal risiko dan juga menjamin keselamatan pekerja adalah tanggungjawab mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 6:35 PM