MOHAMAD Asri (dua dari kiri) dan Ismail bertanya sesuatu kepada Noor Aida (empat dari kanan). FOTO Azhar Ramli
MOHAMAD Asri (dua dari kiri) dan Ismail bertanya sesuatu kepada Noor Aida (empat dari kanan). FOTO Azhar Ramli
Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: Balu Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM) Mohd Firdaus Ibrahim, 37, yang meninggal dunia akibat jangkitan malaria dan kegagalan organ, 3 Ogos lalu, bersyukur menerima 'pencen' bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Suri rumah, Noor Aida Noh, 37, berkata, faedah bulanan itu membantunya untuk meneruskan kehidupan harian terutama membesarkan empat anak berusia 13 bulan hingga sembilan tahun.

"Saya tidak sangka akan dapat pencen bulanan daripada Perkeso. Ini rezeki anak kami yang akan digunakan untuk menjamin pendidikan mereka kerana arwah suami juga mahu semua anak kami menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.

"Saya berterima kasih kepada pegawai Perkeso dan HM yang banyak membantu memandangkan saya sendiri tidak tahu berkaitan caruman arwah suami," katanya ditemui pada majlis penyerahan faedah Perkeso di rumahnya di sini, hari ini.

Penyerahan disempurnakan Pengarah Perkeso Kuala Lumpur Mohamad Asri Ngosman.

Turut hadir, Ketua Bahagian Sinergi Perkeso Ismail Abi Hashim, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM Yusri Abdul Malek dan wakil Jabatan Sumber Manusia The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Salmah Alimuddin.

Noor Aida berkata, semua anak sudah dapat menerima kehilangan bapa mereka biarpun ia agak sukar dan mengakui rindu mereka terhadap arwah tidak pernah pudar.

Katanya, dia juga akan menguatkan semangat untuk menghadiri Majlis Konvokesyen di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok bagi memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) pada 6 November ini.

"Sebelum ini, arwah memang bersemangat mahu menghadiri majlis konvokesyen saya dan beritahu anak yang dia akan mengambil cuti untuk ke Jitra meraikan saya bersama mereka.

"Pada mulanya, saya tak mahu pergi majlis itu tetapi saya kena kuatkan semangat untuk pergi walaupun dia sudah tiada kerana memang hasrat suami mahu melihat majlis konvokesyen saya," katanya.

Sepanjang 14 tahun berkhidmat, Allahyarham Mohd Firdaus banyak membantu menaikkan nama HM dengan memenangi pelbagai anugerah.

Mohd Firdaus dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur dan tidak sedarkan diri selama enam hari.

Sementara itu, Mohamad Asri berkata, waris Allahyarham Mohd Firdaus menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) secara bulanan selain pembayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di bawah Skim Bencana Pekerjaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menurutnya, FOT memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit yang berpunca daripada pekerjaannya.

"Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja yang dilindungi Perkeso meninggal dunia akibat bencana berkaitan pekerjaan.

"Faedah ini bukan sahaja dapat membantu dan memberi kekuatan kepada waris tetapi ia juga membantu anak mereka meneruskan pelajaran sekali gus membina kerjaya cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 2:31 PM