Ruwaida Md Zain


KELUARGA pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Doha, Qatar layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, berdasar rekod, Allahyarham Tengku Endut Tengku Jusoh, 53, pernah mencarum dengan Perkeso ketika berkhidmat dengan Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) lebih 10 tahun sebelum bertukar ke Qatar Airways.

"Ramai berpendapat bantuan Perkeso hanya untuk kes dalam perjalanan ke tempat kerja sahaja.

"Sebenarnya apabila ada kejadian seperti ini, jika individu itu pernah mencarum, maka sumbangan akan diberikan kepada keluarga atau isteri sebagai pencen (sama skim pencen) sebanyak 65 peratus daripada pendapatan sebelum ini selagi isteri masih hidup.

"Anak-anak di bawah 21 tahun akan mendapat bantuan pendidikan sehingga umur 21 tahun. Selepas itu, mereka boleh memohon untuk bantuan pinjaman pendidikan jika memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan faedah itu kepada isteri Allahyarham, Salwana Ibrahim di kediaman mereka di Sungai Buloh, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, kes kematian Covid-19 pertama yang membabitkan warga tempatan di luar negara ini memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan Perkeso merangkumi bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 dan faedah Pencen Penakat.

"Perkeso, melalui Skuad Perkeso Prihatin (SPP) Rawang mengambil langkah proaktif dengan menghubungi keluarga Allahyarham dan membuat semakan caruman," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 yang layak menerima faedah Perkeso adalah 15 kes berbeza-beza termasuk Tengku Endut.

Sementara itu, Salwana ketika ditemui tidak menyangka suami layak menerima faedah itu sedangkan sudah tidak mencarum sejak lima tahun lalu.

"Saya memang tidak menyangka sebenarnya sebab benda ini (caruman) sudah lama, tahun 2015. Bila arwah bekerja di Qatar, saya ingat mungkin sudah tiada.

"Apa yang dilakukan Perkeso amat dihargai. Saya sangat terhutang budi sebab keluarga dalam kesusahan akibat ketiadaan arwah, jadi dengan bantuan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 10 Jun lalu selepas lebih sebulan menerima rawatan di Hamad Medical Centre dan dikebumi di sana.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Salwana 53, dan enam anak berumur 14 hingga 27 tahun.

SARAVANAN (dua dari kanan) menyampaikan faedah dari Perkeso kepada Salwana (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mohammed Azman (kanan). FOTO Mahzir Mat Isa.
SARAVANAN (dua dari kanan) menyampaikan faedah dari Perkeso kepada Salwana (dua dari kiri) sambil diperhatikan Mohammed Azman (kanan). FOTO Mahzir Mat Isa.

Berita berkaitan

Covid-19: Jenazah rakyat Malaysia selamat dikebumikan di Qatar

'Kami baru kehilangan bapa saudara, kini arwah pula'

Covid-19: Rakyat Malaysia hembus nafas terakhir di Doha

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 1:39 PM