DATUK Seri Jalaluddin Alias menyampaikan ucapan ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman UNITAR-UPNM-PRIHATIN di UNITAR International University, Kelana Jaya. FOTO Azhar Ramli
DATUK Seri Jalaluddin Alias menyampaikan ucapan ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman UNITAR-UPNM-PRIHATIN di UNITAR International University, Kelana Jaya. FOTO Azhar Ramli
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 32,600 pelajar daripada golongan B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam dan swasta sudah menerima bantuan di bawah Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022, tahun ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, program inisiatif Perdana Menteri itu membuka peluang akses pendidikan tinggi kepada pelajar kurang berkemampuan.

"Inisiatif kerajaan dalam membantu pelajar daripada golongan B40 termasuk penduduk luar bandar di 35 Parlimen setakat ini mendapat sambutan menggalakkan.

"Matlamat program ini adalah bagi membolehkan pelajar yang memiliki kelulusan ditawarkan tempat di universiti awam atau swasta," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Unitar, UPNM dan Prihatin serta Penyerahan Sumbangan Kepada Anak-Anak Wilayah Persekutuan di Universiti Antarabangsa Unitar di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Unitar Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Pada majlis berkenaan, Jalaluddin turut menyaksikan MOU tiga penjuru antara Unitar, UPNM dan Prihatin yang diadakan bertujuan untuk membangun, menyokong serta memperkayakan pembangunan penyelidikan selain pendidikan tinggi bagi memacu pertumbuhan negara.

Jalaluddin berkata, seramai 2,000 pelajar di kalangan B40 di Wilayah Persekutuan yang berjaya menyambung pengajian menerima bantuan perbelanjaan dan komputer riba dari Prihatin dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Justeru, beliau berharap program berkenaan diteruskan dan lebih ramai pelajar kurang berkemampuan mendapat peluang melanjutkan pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 2:55 PM