Dr. Md Amin (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr. Sahol Hamid (dua dari kanan) dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman UPSI dan UNITAR di Tanjung Malim.
Dr. Md Amin (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr. Sahol Hamid (dua dari kanan) dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman UPSI dan UNITAR di Tanjung Malim.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU ) dengan Universiti Antarabangsa UNITAR (UNITAR), semalam bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara dua pusat pengajian itu.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, susulan kerjasama itu kedua-dua pihak akan melaksanakan beberapa program termasuk penyelidikan, penerbitan, kepakaran, perundingan, bengkel atau seminar, pertukaran pelajar dan penyeliaan silang pengajaran yang membabitkan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) dan program di bawah Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.

"Pelaksanaan program antara UPSI dan UNITAR dapat mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran dalam di UPSI sebagai hub PAKK negara dalam menyediakan pedagogi yang seiring dengan keperluan semasa.

"Kerjasama yang dijalin pasti dapat menambah baik kualiti, reka bentuk dan penyampaian kurikulum PAKK dan bidang akademik lain, penyelidikan, perundingan dan penerbitan yang berkaitan dengan gabungan tenaga kepakaran dari UPSI dan UNITAR," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak.

Katanya, ia bertepatan dengan konsep yang diterapkan oleh UPSI iaitu 3R@UPSI merangkumi Relevant, Referred dan Respect supaya UPSI dan UNITAR menjadi tempat rujukan utama institusi pendidikan dalam dan luar negara.

Secara tidak langsung, katanya, ia dapat mewujudkan sinergi budaya kolaboratif antara IPTA dan IPTS dalam menyediakan pendidikan berasaskan bukti secara menyeluruh dan holistik.

Sementara itu Naib Canselor UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, kerjasama strategik itu akan memberi nilai tambah terhadap kelayakan kepada calon penuntut terhadap pengalaman pembelajaran.

"Kerjasama ini juga bertujuan memberi peluang kepada calon penuntut untuk mengikuti pengajian dan memiliki sijil kelayakan akademik ijazah berkembar daripada UPSI dan UNITAR melalui penawaran program akademik PAKK yang dilaksanakan di Pusat Pembelajaran UNITAR yang mempunyai kemudahan persekitaran pembelajaran kondusif setanding UPSI.

"Kerjasama ini memberi peluang untuk meningkatkan keterlihatan sebagai universiti awam dan institusi swasta yang mewujudkan kelestarian program akademik selaras dengan perkembangan industri pendidikan negara," katanya.

Menurutnya, dengan termeterainya MoU itu, ia dapat melahirkan sekumpulan guru elit, berkemahiran pedagogi tinggi yang diperlukan seterusnya bakal memberi perkhidmatan terbaik pendidikan untuk negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:54 PM