MAJLIS penyerahan biasiswa.
MAJLIS penyerahan biasiswa.
Fazurawati Che Lah


UNITAR International University (UNITAR) sebagai penaja kebangsaan piala hoki siri lelaki memberikan sokongan penuh kepada pasukan hoki kebangsaan dalam perlawanan hoki FIH siri akhir yang berlangsung pada 4 Mei lalu antara Malaysia dengan Kanada.

Universiti itu berbesar hati memberikan tajaan sumbangan biasiswa pendidikan bernilai RM100,000 kepada lima pemenang bagi pertandingan cabaran Free Style Hockey Juggling.

Biasiswa Pendidikan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR, Puvan Balachandran kepada pemain dan disaksikan Presiden Hoki Kebangsaan, Datuk Sri Subahan Kamal sebagai satu daripada aspirasi UNITAR dalam menyokong usaha sama permainan hoki di negara ini.

Puvan berkata, UNITAR sentiasa komited untuk membantu meningkatkan prestasi sukan negara terutama dalam bidang permainan hoki.

“Pihak universiti memainkan peranan penting bagi mengimbangi kemajuan akademik dan kokurikulum dalam kalangan pelajar.

“Matlamat ini seiring dengan saranan kerajaan untuk melahirkan graduan yang cergas dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Noor Raihan Abd Hamid berkata, berpaksikan kompetensi CARE iaitu Collaborative (Kerjasama), Adaptive (Penyesuaian), Reflective (Reflektif) dan Entrepreneurial (Keusahawanan) menguatkan daya saing graduan UNITAR.

“UNITAR menjadikan misi ini bagi menyampaikan atribut CARE dengan lebih berkesan melalui cara inovatif yang meliputi format formal, tidak formal dan di luar kurikulum,” katanya.

Selain itu, pihak pengurusan UNITAR juga berbesar hati menaja pengangkutan bas kepada pelajarnya untuk menyaksikan perlawanan hoki dengan tujuan meningkatkan lagi pengalaman mahasiswa dalam konteks pembelajaran berteraskan pengalaman.

Dalam pada itu, pelbagai inisiatif lain turut dilakukan pihak UNITAR bagi melahirkan pelajar yang dinamik dan aktif dengan menyediakan kemudahan bersukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:34 AM