TUNKU Azizah beramah mesra bersama pempamer ketika Majlis Penutup Simposium Tekstil Tradisional ASEAN di Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
TUNKU Azizah beramah mesra bersama pempamer ketika Majlis Penutup Simposium Tekstil Tradisional ASEAN di Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Kelapan disifatkan sebagai berjaya selepas menghimpunkan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara anggota rantau ini.

  Simposium berlangsung pada 25 hingga 29 September lalu menampilkan tema 'Celebrating Textiles: A Journey' yang dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja itu berjaya mengumpulkan peserta dari 13 negara ASEAN.

  Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam titah penutup simposium berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa, peserta dan delegasi kerana menjayakan simposium berkenaan.

  Tunku Azizah bertitah, kesemua jawatankuasa bekerja keras bagi menjayakan simposium yang berlangsung selama enam hari itu dan sangat gembira apabila acara itu mendapat sambutan memberangsangkan.

"Kepada seluruh ahli jawatankuasa, mereka bekerja keras sebagai satu kumpulan dan saya seharusnya berterima kasih daripada lubuk hati atas kesungguhan mereka menjayakan acara ini.

  "Kini, kita sudah boleh meraikan kejayaan luar biasa ini kerana acara yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu berdepan dengan pelbagai rintangan, termasuklah kita menghadapi Covid-19.

  "Kemudian kita tetapkan yang acara ini berlangsung pada Ogos lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana antara delegasi iaitu Indonesia, meminta supaya diadakan pada September disebabkan negara itu sedang membuat persiapan menyambut Hari Kebangsaan mereka," titah Tunku Azizah dalam ucapan penutup simposium semalam.

Kali terakhir simposium dwi tahunan itu diadakan adalah pada 2019 di Jogjakarta, Indonesia sebelum ia ditunda kerana penularan Covid-19 yang memuncak pada ketika itu.

  Mengenai simposium itu, 19 kertas kerja dibentangkan oleh 13 negara termasuk Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Laos, Filipina, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

  Menerusi pameran khas yang disediakan, orang ramai dapat melihat koleksi tenunan pakaian anakanda Tunku Azizah dan koleksi tenun peribadi baginda, demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan dari Sabah, pua kumbu (Sarawak), anyaman mengkuang, ukiran kayu serta pelbagai jualan kraf.

  Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan pada 29 September 2017 bertujuan untuk memajukan Tenun Pahang Diraja sebagai perusahaan kraf warisan yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan pekerjaan peluang untuk pekerja seni dan penenun.

  Yayasan ini berada di bawah naungan Al-Sultan Abdullah manakala Tunku Azizah adalah Pengasas Bersama merangkap Pengerusi bagi yayasan terbabit. 

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:04 PM