Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan mempamerkan hasil lukisan batik di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP), Bangsar di sini, hari ini.

Ketika lawatan bersama kira-kira 150 peserta delegasi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 itu, baginda menunjukkan cara mewarnakan batik yang masih dalam proses pembuatan.

Baginda yang tiba pada 6.30 petang meluangkan masa lebih sejam menyaksikan dan menerangkan mengenai rekaan batik baginda yang dipamerkan di galeri itu.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia Datuk Michael Chan dan Pengarah Galeri Prima Azlynn Aziz.

TUNKU Azizah berkenan mencanting batik ketika mengadakan lawatan sempena Majlis Penutup Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Lebih 40 rekaan batik dihasilkan baginda dipamerkan di Galeri Prima, sejak 1 Ogos lalu.

Istimewanya, Galeri Prima adalah galeri seni persendirian pertama mendapat kebenaran Tunku Azizah untuk mempamerkan karya eksklusif baginda, batik cetakan blok iaitu antara teknik pembuatan batik tradisional tertua di negara ini.

Terdahulu, Tunku Azizah berkenan merasmikan majlis penutup simposium berkenaan di sebuah hotel di Putrajaya, selepas dianjurkan bermula 25 September lalu.

Malaysia yang menjadi tuan rumah pada simposium kali kelapan itu mengangkat 'Celebrating Textiles: A Journey', sebagai tema acara berkenaan dan ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

TUNKU Azizah berkenan memberi penerangan mengenai kain batik kepada peserta luar negara sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 ketika melawat Galeri Prima di Balai Berita NSTP, Bangsar.  FOTO Aizuddin Saad.

Simposium yang dianjurkan oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja itu turut berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta dari 13 negara yang membabitkan golongan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun.

Sebanyak 19 kertas kerja dibentangkan pada simposium berkenaan dari 13 negara termasuk Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Laos, Filipina, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Laos akan menganjurkan simposium berkenaan pada tahun 2024, bagaimanapun negara berkenaan belum menetapkan tarikh atau lokasi bagi penganjuran acara itu.

TUNKU Azizah  berkenan memberi penerangan kepada peserta luar negara sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 ketika melawat Galeri Prima di Balai Berita NSTP, Bangsar. FOTO Aizuddin Saad.
TUNKU Azizah berkenan memberi penerangan kepada peserta luar negara sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 ketika melawat Galeri Prima di Balai Berita NSTP, Bangsar. FOTO Aizuddin Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:33 PM