Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Seramai 51 individu termasuk 13 wanita ditahan setakat ini berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata sejumlah 62 kertas siasatan dibuka untuk menyiasat skandal membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta itu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan dapat menyelesaikan siasatan berhubung kes itu dalam tempoh sebulan lagi dengan proses siasatan dilihat akan mengambil sedikit masa kerana membabitkan banyak pihak dan ramai suspek.

"Kes ini tidak berkaitan dengan politik. Ia seperti rompakan di siang hari yang mana sekumpulan individu melihat ada peluang (untuk mengambil keuntungan) daripada kemurahan hati kerajaan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19," katanya selepas sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Utara di sini, hari ini.

Program PenjanaKerjaya adalah antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja berdepan cabaran pandemik bermula awal tahun 2020 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui penyediaan peluang pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

SPRM sebelum ini memaklumkan tentang pelaksanaan operasi besar-besaran bersama Perkeso bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri seluruh negara.

Ia susulan maklumat diperoleh selepas pemantauan dan risikan mendapati ada majikan yang mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program berkenaan.

AZAM Baki menyampaikan ucapan ketika hadir program 'Cakna Rasuah' SPRM bersama media zon utara di Vouk Hotel Suites, Pulau Pinang di sini.  FOTO Mikail Ong
AZAM Baki menyampaikan ucapan ketika hadir program 'Cakna Rasuah' SPRM bersama media zon utara di Vouk Hotel Suites, Pulau Pinang di sini. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:36 PM