DATUK Mohd Yusri Hassan Basri. FOTO BALQIS Jazimah Zahari.
DATUK Mohd Yusri Hassan Basri. FOTO BALQIS Jazimah Zahari.
BERNAMA

Ipoh: Seramai 2,401 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak bersiap siaga dengan pelbagai aset yang boleh digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan dalam menghadapi bencana alam seperti banjir, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata, sebanyak 91 aset membabitkan pelbagai kenderaan darat disediakan meliputi pacuan empat roda, van, lori selain bot aluminium dan gentian kaca bagi penugasan dan pengoperasian berkaitan bencana nanti.

"Latihan simulasi menghadapi bencana dengan penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan telah diadakan secara berperingkat.

"Anggota kami telah bersiap sedia termasuk cuti dibekukan dalam menghadapi bencana banjir ini nanti," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, antara kawasan tumpuan kekerapan banjir yang perlu diberi perhatian dalam aspek penugasan dan pengoperasiaan ialah Hilir Perak, Taiping, Kerian, Tapah dan Muallim.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau telah mengarahkan semua ibu pejabat polis baik di peringkat kontinjen mahupun daerah untuk bersiap sedia, meliputi anggota dan aset yang boleh digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Menurutnya, PDRM perlu mengambil iktibar banjir besar yang melanda negara Disember tahun lepas yang telah menguji kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi krisis, justeru memerlukan respons PDRM dalam berhadapan bencana pada masa hadapan dengan lebih efektif dan dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 76 kawasan sebagai titik panas atau 'hotspot' banjir di Perak susulan musim peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka melanda bermula pertengahan November ini.

Susulan itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja mengorek pulih sungai, mendalamkan sungai dan menyelenggara kolam takungan bagi menghadapi musim tengkujuh ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:15 PM