Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia menghadapi gelombang kedua dan ketiga banjir yang dijangka lebih buruk berbanding bencana sebelum ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, beberapa langkah persediaan diambil untuk menghadapi musim banjir terutama membabitkan soal nyawa serta harta benda penduduk.

Katanya, pihak JBPM turut mempertingkatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta menyemak peraturan kerja dengan mengadakan mesyuarat bersama agensi lain bagi memastikan kerjasama antara agensi sentiasa erat.

“Memandangkan masalah banjir satu bencana besar membabitkan ramai mangsa, bomba perlu bekerjasama dengan agensi lain dalam menangani masalah banjir.

“Setiap peralatan dan keperluan logistik sentiasa berada dalam keadaan siap sedia. Jika berlaku kecemasan ia dapat digerakkan segera bagi menjalankan operasi menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pasukan Gerakan Kecemasan Tugas dan Tanggungjawab, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah.

Wan Mohd Nor berkata, aset JBPM membabitkan 600 bot, 100 lori dan lebih 200 pacuan empat roda bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa ke lokasi banjir.

“Anggota daripada negeri lain yang tidak terbabit dengan bencana banjir juga sudah bersedia dikerahkan untuk ke lokasi banjir jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

“Dalam situasi sekarang, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak kerana musim banjir bukan masa sesuai untuk bermain air dan berpesta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:20 AM