Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa beliau tidak menyuarakan kebimbangan kepada Datuk Seri Najib Razak mengenai projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment BVI Co kerana tiada akses langsung kepada perdana menteri (PM).

Saksi pendakwaan ke-26, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata, beliau tidak boleh melangkau pegawai atasannya dan mengadu kepada Najib mengenai cadangan projek usaha sama berkenaan yang dilakukan dengan tergesa-gesa.

"Ia bukan amalan bagi penjawat awam untuk pergi terus kepada perdana menteri," katanya yang ketika itu berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula.

Siti Zauyah berkata, projek usaha sama berkenaan adalah satu-satunya pelaburan yang membabitkan transaksi tidak normal pernah ditemuinya sepanjang 25 tahun berkhidmat di Kementerian Kewangan.

"Ia adalah pertama kali seumpamanya pernah saya temui," katanya.

Menurutnya, kertas cadangan bagi projek usaha sama terbabit bukan sahaja dilakukan dengan tergesa-gesa, malah due diligence (usaha wajar) mengenai aliran tunai bagi projek itu tidak dibuat, selain pihaknya perlu menyediakan dan mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet pada hari sama.

"Maklumat yang kami peroleh daripada 1MDB sangat terhad dan pertama kali tiada unjuran aliran tunai dibuat kerana amat penting untuk meneliti bahawa pelaburan ini menghasilkan keuntungan untuk membayar balik pinjaman," katanya.

Saksi itu turut ditanya mengenai mengapa beliau tidak mengadu terus kepada Najib mengenai tindakan 1MDB yang memaklumkan hanya berurusan dengan perdana menteri berhubung operasi dan hal ehwal syarikat.

Siti Zauyah menjawab beliau membangkitkan perkara itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, namun Ahmad Husni memberitahunya bahawa beliau (Ahmad Husni) tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.

Sri Ram turut menyoal saksi mengenai keterangannya sebelum ini bahawa beliau ada memaklumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai keperluan mendapatkan butiran lanjut daripada 1MDB namun diarahkan terus memproses (kertas cadangan bagi LOS).

Saksi itu ditanya sama ada beliau boleh mengingkari arahan berkenaan.

Menjawab persoalan itu Siti Zauyah berkata, beliau boleh menasihati Mohd Irwan berhubung hal kewangan mengenai cadangan LOS terbabit , tetapi ia terpulang kepadanya (Mohd Irwan) sama ada untuk menerima nasihat berkenaan.

Disoal apakah tanggapannya daripada kenyataan Mohd Irwan yang menyatakan perkara itu mustahak dan ia adalah arahan perdana menteri, saksi menjawab, beliau beranggapan ia satu arahan.

"Memang dia ada beritahu perkara itu mustahak… ia datang daripada PM dan kamu (saya) kena buat. Saya takut," katanya.

Dalam keterangan sebelum ini, Siti Zauyah memberitahu mahkamah, 1MDB perlu mendapatkan Surat Sokongan (LOS) daripada kerajaan untuk mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar Investment BVI Co.

Katanya, kertas cadangan mengenai keperluan 1MDB untuk mendapatkan LOS disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

Saksi itu berkata, kerajaan terpaksa menanggung hutang berjumlah AS$3 bilion yang dipinjam 1MDB pada 2013 yang diluluskan melalui surat sokongan ditandatangani Najib selaku menteri kewangan ketika itu.

Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 69 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:00 PM