DATUK Seri Najib Razak, pada perbicaraan berhubung kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB. FOTO Saifullizam Tamadi
DATUK Seri Najib Razak, pada perbicaraan berhubung kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB. FOTO Saifullizam Tamadi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan anak syarikat International Petroleum Co (IPIC) iaitu Aabar Investment PJS (Aabar) adalah cadangan Datuk Seri Najib Razak.

kt Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kepada beliau dan syarikat hasil usaha sama itu Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC), didaftarkan di kepulauan Virgin British pada 5 Mac 2013 oleh peguam 1MDB Jasmine Loo.

Azmi berkata, beliau tidak tahu secara terperinci tujuan sebenar penubuhan ADMIC, tetapi memandangkan perkara itu ditetapkan oleh Loo, ia pasti adalah kehendak Jho Low.

"Saya mula diarahkan secara aktif oleh Jho Low apabila terdapat cadangan oleh beliau untuk menjalinkan usaha sama dengan Aabar pada hujung 2012 dan saya sebagai CFO akan dilibatkan dalam setiap tindakan yang membabitkan proses kewangan.

"Termasuklah pada 2013, ketika itu Jho Low dan Datuk Seri Najib sedang berusaha untuk memastikan usaha sama antara G to G (kerajaan dengan kerajaan) melibatkan Abu Dhabi dan Malaysia dijayakan," kata Azmi.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, cadangan usaha sama antara Abu Dhabi dan Malaysia dimulakan dengan Parcel A.1.0 di TRX, namun ia tidak dilaksana kerana terdapat beberapa perubahan selepas itu.

"Kemudian (ada) satu lagi rancangan usaha sama dengan Aabar berkaitan pelaburan dan pembangunan aset hartanah, namun saya juga tidak terlibat kerana ia berada di bawah seliaan bahagian pelaburan dan Loo. Setahu saya, rancangan usaha sama ini juga tidak jadi.

"Selepas kedua-duanya gagal, Jho Low telah merancang usaha sama ketiga yang dinamakan 'Projek Pemangkin' dan beliau mengarahkan Loo untuk mengetuai projek itu kerana ia melibatkan kutipan dana sebanyak US$6 bilion memandangkan Loo lebih mahir dalam mata wang tersebut," katanya.

Azmi berkata, pada awal perbincangan mengenai projek ini, Jho Low mengeluarkan cadangan untuk menggunakan 'Letter of Comfort' Kementerian Kewangan sebagai jaminan kepada penerbitan bon ini.

"Projek ini merupakan arahan Datuk Seri Najib melalui Jho Low dan Jho Low telah mengarahkan untuk mempercepat prosesnya terutama dari segi mendapatkan terbitan bon. Disebabkan itulah ia dilakukan secara tergesa-gesa dan sangat cepat," katanya.

Azmi kemudian dirujuk kepada surat sokongan bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Najib iaitu Menteri Kewangan ketika itu bagi mewakili Kerajaan Malaysia.

Saksi itu berkata, surat terbabit bertujuan menyokong penerbitan bon berjumlah US$3 bilion dan sebagai satu jaminan yang akan meletakkan tanggungjawab serta komitmen kepada kerajaan sekiranya 1MDB gagal membuat pembayaran semula.

"Datuk Seri Najib telah meluluskan surat sokongan ini dengan menandatanganinya dalam tempoh yang singkat. Ia selari dengan apa yang dimaklumkan oleh Jho Low kepada kami bahawa Najib akan meluluskannya dan kami tidak perlu risau tentang kelulusan tersebut," katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:54 PM