GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 8,000 pakar perubatan keluarga untuk ditempatkan di semua klinik kesihatan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan keperluan terbabit, pihaknya merangka pelan perancangan untuk meningkatkan jumlah pakar perubatan.

Menurutnya, setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan Malaysia mempunyai kira-kira 1,100 pakar perubatan keluarga dan 700 orang dari jumlah terbabit adalah pakar perubatan keluarga dalam sektor awam.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, dalam usaha menambah jumlah pakar dalam bidang terbabit, pihaknya merancang menjalin kerjasama dengan universiti dan kolej tempatan serta luar negara bagi program ijazah sarjana perubatan keluarga.

"Kita dahulu bermula dengan 42 fasiliti yang ada pakar perubatan keluarga tetapi sekarang kita sudah tingkatkan iaitu melihat kepada spektrum rawatan kepada komuniti kita dan sekarang kita ada hampir 1,100 pakar perubatan keluarga.

"Sekarang ini dalam kapasiti kita, memang kita memerlukan lebih kurang 8,000 pakar perubatan keluarga supaya dapat ditempatkan di semua klinik kesihatan.

"Pada masa sama, kita dalam proses untuk meningkatkan lagi usaha menerusi program ijazah sarjana perubatan keluarga di universiti dan kolej tempatan," katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Persidangan Saintifik Perubatan Keluarga ke-24 Peringkat Kebangsaan 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Menjawab soalan mengenai pembentangan Bajet 2023, beliau berkata, pihaknya menyasarkan lima peratus dari bajet keseluruhan untuk sektor kesihatan awam negara.

"Bajet kita sekarang ini sebagaimana yang diumumkan Menteri Kesihatan, kita mohon supaya dapat ditambah iaitu kalau kita lihat keseluruhan bajet untuk kesihatan dalam negara lebih kurang 4.3 atau 4.4 peratus di sektor kesihatan awam.

"Di KKM lebih kurang 2.1 atau 2.2 peratus, jadi kita sewajarnya kalau dapat tingkatkan kepada lima peratus untuk sistem kesihatan awam. Kalau tambah dengan (sektor) swasta, mungkin jadi tujuh hingga lapan peratus.

"Di negara maju contohnya United Kingdom dan Australia, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka untuk kesihatan ialah lebih kurang 10 sehingga 11 peratus.

"Di Amerika Syarikat paling tinggi hampir 19 dan 20 peratus manakala KKM hanya 2.1 peratus sahaja," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti dan selamat dapat diberikan kepada rakyat terutama dari kawasan pendalaman sekiranya pelaburan untuk sektor kesihatan dapat ditingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 3:30 PM