Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan tren pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, ia satu perkara yang positif biarpun mengakui pengambilan dos penggalak kedua itu sedikit hambar berbanding dos penggalak pertama.

"Peningkatan ini didorong oleh kebimbangan orang awam mengenai situasi terkini penularan Covid-19 di China awal bulan lalu.

"Sejak dua minggu lalu, kami melihat satu keadaan positif terhadap pengambilan suntikan dos penggalak kedua itu.

"Justeru, kami mahu individu berisiko supaya tampil ke hadapan dan mengambil dos penggalak berkenaan secara 'walk-in' di fasiliti KKM dan swasta di seluruh negara," katanya pada sesi taklimat khas bersama media di sini, tadi.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, Dr Saidatul Norbaya Buang, berkata buat masa ini, secara purata sebanyak 7,000 suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada penerima setiap hari.

Beliau berkata, ia peningkatan ketara iaitu sekitar 4,000 dos sehari sejak dua minggu lalu berbanding hanya beberapa ratus sebelum itu.

"Secara keseluruhan, sebanyak 50 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mengambil suntikan dos penggalak pertama dan hanya 2.1 peratus bagi dos penggalak kedua.

"Daripada jumlah itu, 71.6 peratus bagi dos penggalak pertama diambil oleh warga emas manakala, dos penggalak kedua pula sekitar 5.6 peratus.

"Bagi peringkat usia 18 hingga 59 tahun pula, 69 peratus daripada mereka sudah mengambil dos penggalak pertama manakala, sekitar 2.9 peratus bagi dos penggalak kedua," katanya.

Beliau berkata, KKM menggalakkan pengambilan dos penggalak bagi individu berisiko 60 tahun dan ke atas, pesakit kronik, individu mudah mendapat jangkitan teruk COVID-19 (ibu hamil atau penghuni terlantar sakit di hospital) dan individu berusia 18 tahun ke atas.

Buat masa ini, suntikan dos penggalak ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital KKM, 754 klinik kesihatan dan 435 pusat pemberian vaksin (PPV) swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:06 PM