Putrajaya: Purata satu hingga dua kejadian bunuh diri dilaporkan berlaku di Malaysia setiap hari, menurut statistik Pendaftaran Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia bagi tempoh 2008 hingga 2010.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan statistik itu, 1,100 kes bunuh diri dilaporkan dalam tempoh tiga tahun itu dengan nisbah lelaki berbanding wanita 2:1.

"Ia hanya berdasarkan kes bedah siasat (post mortem) dan statistik sebenar berkemungkinan lebih tinggi," katanya dalam ucapan perasmian seminar 'Sayangi Nyawa, Hidupkan Harapan' bersempena bulan pencegahan bunuh diri 2015 di sini hari ini.

Objektif seminar meningkatkan pengetahuan peserta yang terdiri daripada pengamal perubatan dan pakar psikologi mengenai pengendalian tingkah laku bunuh diri, epidemiologi dan faktor-faktor penyebab bunuh diri di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, statistik Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan untuk tempoh lima tahun (2010-2014) menunjukkan 338 kematian di hospital kementerian disebabkan perbuatan mencederakan diri atau 'intentional self-harm'.

Menurutnya, tingkah laku bunuh diri boleh berlaku akibat pelbagai faktor kompleks yang saling berkait, antaranya gangguan mental terutama kemurungan, salah guna dadah dan substans, tragedi kehidupan seperti masalah kewangan, hilang pekerjaan, konflik hubungan (perpisahan, perceraian), kemiskinan, penyakit fizikal serta mempunyai sejarah bunuh diri dalam keluarga. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 5:44 PM